Wednesday, April 28, 2010

Mengapa bahasa ibunda?—Sebab bahasa itu bukan sekadar alat penghantar.

“Anakanda yang lahir dari lututku!
Anakanda aku yang tunggal!
Makin hari makin ringan kau di dalam hatiku.
Rumahku bagaikan rimba yang hilang akar,
Namun masih aku berangan awan di atas langgit takkan terbang.
Ketahuilah anakanda,
Bahawa tubuhku kini berdampingan gua hantu,
Syaitan sering menampil di depan mataku,
Meskipun semangatku masih teguh.
Anakanda yang lahir dari lututku!
Bilakah kau pulang bersama cucuku?
Awan menghilangkan diri setiap hari.
Bila aku bangun setiap pagi,
Lautan di depan mata gugur seperti daun-daun yang jatuh dari pokok.
Aku merenung di atas kerusi yang kau duduk,
Aku adalah senja yang gelap,
Matahari yang bila harus ku tunggu demi kepulangan mu?
Bulan cerah dalam mataku,
Malam akan menjadi siang lagi…..”


Begitulah bunyinya saranan seorang ibu tua orang asli di Pulau Lanyu, Taiwan, kepada anaknya. Ibu tua ini menyanyikan kerinduan beliau dengan bahasa yang kaya dengan perasaan, kepada anak yang berkerja di kota Taipei, agar anak dan cucu pulang ke Lanyu, puak asli mereka. Akhirnya anak menuruti permintaan orang tua, tinggalkan perkerjaan di Taipei dan balik ke pangkuan kampung halaman dan lautan yang tercinta.

Sebagai seorang lelaki yang cukup matang dan sudah mencapai kedewasaan di Lanyu, anak tersebut berkewajipan berdepan dengan cabaran lautan dan melawani ikan todak (sejenis ikan yang menjadi sumber makanan dan juga sumber pendapatan di Lanyu). Sekiranya tangkapan mereka tidak memuaskan pada hari tertentu, seseorang akan berasa susah hati dan mengatakan diri beliau telah “dikalahi oleh lautan malah diketawa oleh ikan todak.”

Begitu juga bagi orang asli di Malaysia, apabila mereka bertutur, bukan sahaja sekadar berkomunikasi tetapi mengukir suatu gambaran yang kaya dengan emosi, simbolik dan metafora. Gambaran itu adalah ciptaan dari kepercayaan, cara kehidupan dan alam semulajadi di sekeliling mereka masing-masing. Dalam usaha menceritakan kepada manusia kota betapa pentingnya sumber alam semulajadi buat mereka, seseorang Penan akan memberitahu bahawa rimba itu tempat jiwa mereka berkerja dan berehat, seseorang Kayan pula akan mengatakan bahawa sungai itu ibubapa dan abang adik mereka.

Maka sekiranya dipersoalkan mengapa bahasa ibunda itu penting kepada sesuatu kaum, bangsa mahupun negara, jawapannya kerana bahasa itu bukan sekadar alat penghantar yang dikatakan “menyatupadukan rakyat”, tetapi jauh lebih kaya daripada itu. Kepelbagaian fungsi bahasa tidak sepatutnya dikongkongi oleh “satu tujuan” yang belum pasti benar hipotisisnya.

Seseorang diperkenal kepada dunia ini sejak masa bayi (malah dalam fetus) lagi melalui bahasa ibunda, mereka berhak terus mempelajari, memperkembangkan dan menyampaikan isihati mereka terhadap segala-galanya dengan bahasa ibunda. Mereka berhak mendengar mitos dan lagenda dari nenek moyang, berhak mengenali nama pokok bunga di sekeliling, berhak menghasilkan karya-karya atau menulis surat cinta, berhak menceritakan cerita dongeng kepada anak-anak, dalam bahasa ibunda. Sekiranya kita mempunyai 45 puak (sub-group) orang asli di Malaysia, ini bermaksud kita mempunyai 45 cara untuk mengenali dunia dari kaca mata puak-puak asli ini. Alangkah indahnya dunia kita dengan kepelbagaian ini!

Bahasa-bahasa ibunda bukan sahaja penting dari segi hak asasi manusia tetapi juga dari segi khazanah budaya. Dalam aspek sastera dan seni pula, mereka merupakan bahan-bahan ataupun sumber-sumber yang begitu penting sekali. Mereka yang memperkayakan identiti negara kita, sekiranya dikaji dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Malangnya bahasa-bahasa orang asli di negara ini tidak pernah dihargai, malah tidak digalakkan warisan atau penyebarannya, sehingga mereka menghadapi kepupusan yang tidak sekali pun diketahui oleh rakyat negara.

No comments:

Post a Comment